Berita: www.prokhairy.com
Rembau, 18 Ogos 2009- Akademi Pemuda, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Yayasan Pembangunan Buku Negara, dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Rembau dan dan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rembau, mengadakan satu program galakan membaca dan pemberian buku kepada sekolah, perpustakaan desa dan juga pelajar cemerlang dalam pembacaan buku bagi kawasan Parlimen Rembau, Negeri Sembilan.
Aturcara yang diberi nama Program Iqra’ ini yang berlangsung pada hari Selasa, 18 Ogos 2009 pada jam 3.30 petang bertempat di Dewan Seri Rembau, Rembau dan bakal dirasmikan oleh Saudara Khairy Jamaluddin Abu Bakar selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ahli Parlimen Rembau.
Sebanyak 80 kotak buku yang mengandungi 30 judul buku-buku yang disumbangkan oleh penerbit-penerbit buku tempatan telah diagihkan pada majlis tersebut kepada semua sekolah dan perpustakaan desa dalam kawasan Parlimen Rembau.
“Saya mengucapkan syabas kepada Akademi Pemuda dan Yayasan Pembangunan Buku Negara di atas inistiaf yang mulia ini, terutama sekali Yayasan Pembangunan Buku yang telah bermurah hati memilih kawasan Parlimen Rembau sebagai lokasi penerima sumbangan buku di bawah program Iqra’. Saya pasti dengan sumbangan ini, para pelajar dan penduduk di kawasan Parlimen Rembau akan mendapat manfaat dengan adanya buku-buku bacaan tambahan yang dapat meningkatkan budaya membaca dan penerokaan ilmu”, ujar Saudara Khairy.
Mengulas mengenai program Iqra’, Saudara Khairul Azwan Harun menjelaskan bahawa program Iqra’ ini bertepatan dan sinergistik dengan pemfokusan Akademi Pemuda yang menjurus kepada aktiviti - aktiviti bina insan, terutama sekali bagi generasi muda. Beliau juga mengucapkan berbanyak terima kasih di atas kesudian Yayasan Pembanggunan Buku Negara mengembeleng tenaga bersama Akademi Pemuda bagi aktiviti Program Iqra’ di Rembau.
Haji Hasan Hamzah, selaku Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Nasional, melalui wakilnya berkata: “Pihak Yayasan berasa berbesar hati dapat membuat satu aktiviti secara usahasama dengan Akademi Pemuda bagi satu program yang diharap dapat meningkatkan lagi budaya membaca di kalangan masyarakat.” Beliau turut menjelaskan bahawa Program Iqra’ ini bakal menjadi stimuli kepada program Jom Baca di peringkat nasional yang sedang di dalam proses perancangan.
Maklumat Program Iqra’:
Program ini dianjurkan oleh Akademi Pemuda, Pemuda UMNO Bahagian Rembau dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara dan diadakan sebagai salah satu kempen untuk menggalakkan rakyat membaca terutamanya dalam kawasan Parlimen Rembau dengan kumpulan sasarannya yang meliputi para pelajar serta penduduk luar bandar.
Sebanyak 80 kotak buku yang mengandungi 30 judul buku-buku yang disumbangkan oleh penerbit-penerbit buku tempatan telah diagihkan kepada 51 buah sekolah rendah, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, 17 buah sekolah menengah serta 13 buah Perpustakaan Desa.
Disamping itu, seramai 12 orang pelajar terbaik bagi program Nilam juga turut sama menerima hadiah sumbangan buku, berdasarkan tiga terbaik dari setiap Dewan Undangan Negeri di kawasan Parlimen Rembau. Sebagai maklumat, Program Nilam - Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) merupakan penggabungan atau adunan kesemua aktiviti galakan membaca untuk menanam minat membaca di kalangan rakyat Malaysia khususnya murid sekolah sehingga wujudnya tabiat membaca dan budaya membaca di kalangan rakyat.
Maklumat mengenai Akademi Pemuda: -
Akademi Pemuda atau singkatannya AP telah diperbadankan pada 17 Mei 2002 merupakan satu entiti bukan berlandaskan keuntungan yang menawarkan input intelektual dan penyelidikan bagi pemuda demi memperjuangkan agenda parti untuk agama, bangsa dan tanah air, selaras dengan lima rukun pemuda. Disamping itu, wawasan AP adalah untuk menjadi entiti yang menjana modal intelektual serta perancang strategik di dalam pemuda disamping menjadi agen pelaksana kepada program-program yang selari dan berimpak positif dengan visi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Maklumat mengenai Yayasan Pembangunan Buku Negara:
Yayasan Pembangunan Buku Negara adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada 23 Mac 2003 bagi menyahut seruan kerajaan untuk memajukan industri buku dan mengembangkan budaya membaca di kalangan masyarakat Malaysia.
Kajian menunjukkan rakyat Malaysia adalah dalam kategori masyarakat yang malas membaca. Mengikut United Nations Educational, Scientific And Cultural Organization (UNESCO), kira-kira 46 peratus sahaja masyarakat Malaysia yang serius membaca dan antara salah satu sebab yang dikenal pasti adalah akibat kurangnya penerbitan buku tempatan yang berkualiti tinggi. Menyedari hakikat ini, Yayasan pembangunan Buku Negara ditubuhkan untuk membantu meningkatkan kempen menyemai budaya membaca masyarakat Malaysia dalam usaha menyemai budaya ilmu di kalangan masyarakat umum.
Laporan Bergambar:
Disambut oleh ibu-bapa yang hadir di majlis Perasmian Program IQRA peringkat Parlimen Rembau
Menyampaikan ucapan dan kata-kata nasihat kepada semua untuk membudayakan aktiviti membaca sebagai hobi keluarga
No comments:
Post a Comment