Wednesday, September 16, 2009

Kunjungan dan Sumbangan kepada Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim

Bersempena dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak ini di mana umat Islam amat dianjurkan untuk berbakti dan membantu golongan fakir dan memerlukan, Akademi Pemuda telah melancarkan gerakan pengumpulan dana untuk disumbangkan kepada anak-anak yatim dan mereka yang kurang berkemampuan.

Sejumlah RM10 ribu telah berjaya dikumpulkan dan agihan sumbangan tersebut telah dibuat oleh Pengerusi Biro Akademi Pemuda UMNO, Saudara Khairul Azwan Datuk Harun, pada Selasa, 15 September 2009 bersamaan 25 Ramadhan 1430H kepada dua institusi jagaan anak-anak yatim iaitu Rumah Anak Yatim dan Saudara Baru Teratak Shifa dan Rumah Anak Yatim, Maahad Tahfiz dan Pusat Jagaan anak-anak pelarian Rohingya.

Mengulas mengenai sumbangan yang diberikan, Saudara Khairul Azwan menjelaskan bahawa aktiviti-aktiviti yang menzahirkan keperihatinan Pemuda UMNO dengan rakyat dan permasalahan mereka senantiasa menjadi tumpuan Akademi Pemuda. Tambahan pula ini amat bertepatan dengan syiar Islam yang menganjurkan kita semua untuk mengambil berat dan memperjuangkan kebajikan masyarakat. Menurut Khairul lagi, kesemua aspek ini adalah antara elemen yang ditekankan oleh pemimpin Pemuda UMNO, Saudara Khairy Jamaluddin, kepada semua warga ahlinya.

Dalam pada itu, pengasas Rumah Anak Yatim dan Saudara Baru Teratak Shifa, iaitu Hjh Thom @ Che Tom Bt Ujang, amat bersyukur dan berterima kasih atas keperihatinan dan sumbangan Akademi Pemuda dan sempat mengucapkan, “macam inilah Pemuda UMNO, turun bersama rakyat.” Rumah Anak Yatim kendalian beliau menempatkan hampir dua puluh anak-anak yatim serta saudara baru dan anak-anak golongan fakir yang kesemuanya adalah perempuan.

Manakala, dalam kunjungan yang kedua di Rumah Anak Yatim, Maahad Tahfiz dan Pusat Jagaan anak-anak pelarian Rohingya, pengetuanya iaitu Ustaz Arif turut sama mengucapkan terima kasih kepada Akademi Pemuda. Pusat jagaan anak yatim dan maahad tahfiz tersebut menempatkan kira-kira 35 orang anak pelarian Rohingya, di mana 28 daripadanya adalah anak-anak yatim. Menurut Ustaz Arif, mereka amat bergantung kepada bantuan orang ramai dan serba kekurangan di mana ada kalanya anak-anak tersebut hanya berbekal dan mengalas perut dengan beberapa keping roti Gardenia dengan milo bagi sehari kerana kurangnya dana disamping pemotongan api dan air yang selalu, akibat kelewatan bayaran. Alhamdulillah, menurut beliau – kunjungan dan sumbangan Akademi Pemuda dapat membantu menampung kos operasi pusat tersebut.

Gambar-gambar bagi program tersebut adalah sepertimana paparan di bawah: -

No comments:

Post a Comment